PENGENALAN

Dalam era ledakan teknologi kini, negara kita memerlukan modal insan yang berkaliber, berintelek dan berkemahiran di samping mempunyai pemikiran kreatif dan kritis yang mampu bersaing dan cemerlang lantaran arus perkembangan pemodenan yang sangat pantas di seluruh pelosok dunia. Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia menghadapi tekanan dan cabaran besar globalisasi dalam mendepani persaingan abad ke-21 sejajar dengan transformasi pendidikan negara. Namun begitu, kita perlu memastikan pendidikan semasa berada pada landasan yang kukuh, mantap dan berkesan ke arah pembangunan modal insan minda kelas pertama, bagi menjayakan aspirasi negara untuk menjadi lebih kompetitif.

Dalam usaha untuk mencapai matlamat tersebut, Persatuan Intelektual Muslim Malaysia (PIMM) dan  Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya mengambil inisiatif untuk menganjurkan PERSIDANGAN KEBANGSAAN ISU-ISU PENDIDIKAN ISLAM 2016. Persidangan ini merupakan kesinambungan daripada beberapa seminar pendidikan Islam yang diadakan sebelum ini. Konvensyen ini diadakan dengan harapan dapat menjadi medan perkongsian dan percambahan ilmu pengetahuan dalam kalangan guru pendidikan Islam  dalam menangani cabaran dan ancaman globalisasi.

Justeru, penganjur berharap para guru dapat berganding tenaga dan idea dalam mendepani cabaran semasa pendidikan dan membentuk keperibadian pelajar yang berkompetensi, kreatif dan kritis mengikut acuan pendidikan.